~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~

Monday, July 22, 2013

BERUBAHLAH

Parut? Ya..parut.. *mengeluh*
Parut itu memang ada. Parut itu bagaikan sudah sebati dalam jiwa. Sakit? Tak usah kau tanyakan lagi. Luka yang segaris itu saja sudah mampu untuk buatkan kau terjerit sakit. Apatah lagi luka yang meninggalkan parut. Gelap. Hodoh. Apa lagi yang mampu untuk aku katakan. Ini melankolik sekeping hati yang berbicara sendu tanpa kata. Diam. Bisu. Lantai aku tenung tanpa bicara.

Lari. Sekuat hati aku lari dari masalah. Masalah? Masalah apa saja yang kau ada?? *tertunduk*
Entah. Sepertinya ada sesuatu yang mengejar aku dari arah belakang setiap kali aku membuka langkah. Luas. Lebar. Tapi masih sepi. Mengejar aku dalam senyap sehinggakan aku terduduk lemah. Kusut menghela nafas yang kian tersekat. Tercungap-cungap aku sendirian dihatui momokan yang tidak putus-putus. Apa yang kau mahukan? Sampai bila harus aku berlari? Sampai bila?

Pipi kurasakan pijar. Air jernih semakin berkolam di tubir mata. Biarkan rasa pijar itu bertanda. Biar ia diserap terus ke dalam jiwa. Biar kali ini aku mampu bangkit mengejar harapan yang kian sirna. Biar. Biarkan asal aku tidak lagi membiarkan harga diri ini dipijak sesuka hati. Biarkan. Bodoh. Bodoh kan manusia ini..? Kerna aku fikirkan umur yang semakin meningkat dewasa mampu mematangkan diri. Tapi aku silap. Hingga sampai ke tahap ini aku lemah. Masih rapuh. Gugur bersama kebodohan yang nyata. Tapi sampai bila? Fikirlah! Sampai bila harus kau biarkan diri ini dimamah sikap yang sambal lewa? Sampai ke tahap mana harus kau biarkan diri ini dimamah kebodohan. Dungu! *menjeling tajam*

Kalau kau tak mampu mengubah diri. Siapa lagi yang mampu mengubahnya? Kalau kau tak mampu untuk menasihati hati yang kian tandus tanpa kata. Siapa lagi yang mampu mengubatinya. Baliklah engkau. Pulanglah pada sesiapa yang kau rasakan mampu menerima kau dengan hati yang terbuka. Baliklah kau kalau kau rasakan kau masih mahu duduk di takuk lama. Orang semakin hari semakin bergerak ke hadapan. Orang semakin hari semakin melakukan perubahan. Berubah kearah kebaikan. Melengkapkan diri dengan ilmu dan juga agama. Jangan terlalu membuta tuli kerana di akhir hari kau juga yang akan binasa.

Thursday, July 18, 2013

MANUSIA INI . . .


Aku tebarkan pandangan ke luar jendela. Bunyi burung-burung yang berterbangan amat menghiburkan hati. Pandangan kembali aku halakan pada ruangan skrin komputer. Kosong. Paparan im aku lihat berkelip-kelip menandakan ada mesej baru yang belum dibaca. Dua tiga tetingkap im yang berkelip-kelip itu aku biarkan saja. Sepi tanpa balasan. Ahh..pedulikan kata orang. Mesti manusia-manusia itu bakal mengerti. Aku bukan sepanjang masa ada di sana.. Kan? *sinis*

Loya. Aku dah muak dengan sikap manusia sebenarnya. Jemu. Baik aku intai burung yang berkicau di balik tirai kamar. Manusia memang sudah begitu tertulis fitrahnya. Suka mengusik. Begitu? Suka mengatakan sesuatu bukan pada letaknya. Begitu? Suka berfikir yang bukan-bukan walhal pada hakikatnya fitrah manusia memang suka berinteraksi sesama sendiri. Berkomunikasi. Mungkin dalam bahasa mudahnya berkawan.

PING!

Tetingkap baru mula terbuka. Hah! Itu dia, lagi seorang manusia. Sebentarlah. Cuba untuk mengerti yang aku sedang cuba untuk membuang kusut di kepala. Manusia, masih lagi begitu. Suka membuat spekulasi sendiri. Menginterpretasi sesuatu dengan kadar yang gopoh. Hasilnya? Kecelaruan info. Penyebaran info yang salah secara berleluasa. Atau dengan lebih tepat lagi, fitnah. Kau mengejar cerita sensasi bak wartawan melodi yang kepoh bercerita tentang hal orang lain. Versi tak bertauliah! Tapi pernahkah kau mengkaji kesahihan sesuatu cerita itu terlebih dahulu? Kepoh! Itulah orang sekarang. Cerita orang sibuk dikejar, malu sendiri ditolak ketepi. *shame on you*

Rimas dengan andaian orang. Komputer aku tolak ke tepi. Nanti-nantilah akan aku jenguk semula. Bosan! Teringat kembali tentang entry ayam yang aku buka tadi. Ohh.. dah diremove lah! Mungkin dia dikritik oleh pengkritik jalanan yang tak memahami sarcasm. Pada hemat aku, bingkisan mindanya sangat bagus untuk dibaca. Dikaji dan dianalisa secara mendalam. Tak ada yang salah dengan kata-katanya. Mungkin pada yang cepat melatah, mereka akan terkesan dengan hasil penulisannya. Ha-ha. Jangan buatkan aku ketawa. Manusia tipikal! Mudah saja melatah. *senyum*

Teringat mesej dari seorang sahabatku yang aku terima dinihari tadi. Terdiam seketika aku dibuatnya. Kelu. Tak tahu respond seperti apa yang harus aku berikan. Senyum. Seorang lagi nampaknya yang bakal menamatkan zaman bujang. Seorang demi seorang berlalu. Meninggalkan aku dan yang lain-lain di belakang. Senyum. Tak apalah. Allah dah sediakan yang terbaik buat hambanya yang sorang ini. Apa perlu risau. Senyumlah! Andai kasih manusia kekal didunia, kasih Allah membawa ke syurga. Relax. Chill macam aku. Allah suka hambanya yang penyabar. *senyum lebar*

Dunia sekarang dah nampak terbalik kan? Baru tadi aku lihat post dari rakan-rakan fb yang sibuk mengupdate koleksi-koleksi minion dari cerita kartun terkenal Despicable Me. Anak-anak kecil dirumah sibuk leka dengan teknologi terkini. Game-game baru yang boleh didownload secara percuma di Google Playstore dibelek tanpa jemu. Si ibu dan ayah? Kakak dan abang yang dah besar-besar tonjang, masing-masing leka berdiri di luar McD berjam-jam lamanya semata-mata menunggukan patung kuning yang tak bernyawa. Kecil. Sekali dipijak.. Ha-ha. Kau sendiri dah boleh fikir apa yang bakal berlaku kan? Ahh..biarlah. Manusia. Punya macam-macam hobi yang tak terjangkau dek akal. Pada kita mungkin idea gila. Pada mereka, mungkin biasa-biasa saja. Minion tu comel apa. Jangan kepoh. Biarkan. Mungkin itu sesuatu yang membahagiakan mereka. Mengata orang macamlah kau tak ada hobi pelik-pelik pula.

Tak perlu runsing. Aku bukan mengata kau! *senyum sinis*
Kenapa? Terasa? Tak perlu rasanya. Aku sekadar mencoretkan isi minda. Tapi kalau kau nak terasa pun apa salahnya. Jangan jadi manusia yang tak mampu berfikir. Oppss.. Maaf. Aku terlanjur bicara. Bukan tak mampu berfikir. Tapi malas. Yang mereka tahu, dengar kata-kata orang. Sebab itulah manusia tipikal cepat melatah. Allah kurniakan akal buat manusia untuk digunakan. Bukan sebagai perhiasan. Eh, tapi kalau kau nak hiaskan akal kau cantik-cantik pun tak ada salahnya. Nanti, bila tiba raya boleh kau jadikan sebagai perhiasan di meja kopi. Sudah usai bertukar cerita sesama sanak saudara nanti bolehlah kau melatah tak keruan. Bak sang jalak yang tercabut ekor. Malulah. Saat itu orang diam bukan sebab tak mahu membantah. Tapi diam sebab penat ketawakan kau dalam hati.

Monday, July 15, 2013

AKU BARU 20 TAHUN..

Bismillah..

Izinkan aku buat sesi luahan hati malam ni.. *sambil jari kuis2 pasir*

Merujuk kepada tajuk diatas. Ya betul. Aku baru 20 tahun. Masih single and available. Tapi bila orang keliling dengar status aku macam tu, masing-masing menggeleng buat muka tak percaya. Kebanyakkannya golongan-golongan makcik-makcik. Dah lama kot aku sorang-sorang macam ni.. But no worries. Aku still bernafas. Still safe and sound atas muka bumi Allah yang serba indah ni. Ya, aku masih lagi belum lengkap dalam menjadi seorang muslimah di landasan Islam dalam erti kata yang sebenar. Aku masih banyak cacat celanya.

Aku memang suka berkawan. Langsung tidak memilih dalam berkawan. Aku berkawan dengan semua orang. Tak kisahlah sekufu atau tidak. Tak ada istilah kau kaya aku miskin. Kau kacak/cantik aku hodoh. Kau pandai aku bodoh. Cuma satu. Aku sangat meluat dengan manusia tipikal. Tahu apa itu manusia tipikal? Manusia yang suka megutuk diri sendiri, yang suka berputus asa sebelum dia mencuba sesuatu. Aku sangat suka berkawan dengan orang yang ada matlamat hidup. Yang sentiasa ada niat dalam memajukan diri. Kerana orang sebegini, cepat atau lambat pasti akan berjaya. Aku pasti!

Dalam persahabatan aku akui. Kadang kala aku sedikit nakal. Suka mengusik. Suka bermain kata bak orang bercinta. Kadang kala yang melucukan, apabila ada yang takut kerana memikirkan kalau-kalau aku serius sedang memancing hati. Tapi serius aku katakan. Aku cuma mengusik. Andai kata ada yang terasa. Aku minta maaf. Jangan pernah takut. Teman-teman rapat pada aku sudah aku rasakan seperti menyayangi adik beradik sendiri. Teman bermain. Teman berlawan kata. Teman bergurau. Apa perlu malu? Apa perlu segan? Andai kamu teman yang lebih tua dan aku rapat dan senang bergaul denganmu. Justeru, anggaplah aku hadir bagai seorang adik yang dahagakan kasih sayang dari seorang abang. Lagi-lagi disaat aku berada jauh diperantauan. Sah-sah saat itu aku merindukan suasana bersama keluarga. Hahaha. Manusia memang terlalu suka berfikir. Pelik kan? Tapi itulah. Jangan risau, kerana aku jenis manusia yang bukan suka berfoya-foya dengan perasaan orang lain. Benar, aku kuat mengusik. Tapi usikan aku berbatas. Jujur! Andai aku suka akan aku katakan suka. Andai aku benci akan aku katakan benci. Mudah bukan? *senyum*

Rata-rata anak muda yang sebaya denganku atau patutkah aku akur dengan hakikat bahawa anak muda kini seawal umur 10-11 tahun sudah pandai bercinta. 11-12 tahun?? Ahh..apa yang kau tahu tentang "Cinta" di usia seawal itu? Kau masih belum matang. Masih hijau dalam mengenal dunia yang penuh liku. Penuh janji-janji semu. Jujur aku katakan. Aku masih belum mahu bercinta bukan kerana pernah kecewa. Tapi aku takut. Aku takut untuk berhadapan dengan hakikat itu. Memang ramai yang pelik. Kenapa harus gadis sepertiku masih lagi sendiri. Masih lagi hidup dalam dunianya sendiri tanpa langsung memikirkan soal mencinta dan dicintai. Aku cuma senyum. Kerana aku hidup berpaksikan matlamat. Aku hidup berpaksikan prinsip. Andai yang hadir dalam hidup aku itu hanya datang kerana suka-suka. Maka aku sarankan agar jangan pernah mendekat. Dan andai yang hadir itu datang dengan niat yang suci. Menginginkan sebuah perhubungan yang berpanjangan, maka dengan ikhlas aku katakan aku boleh mempertimbangkan niat hatinya.

Saat usia remaja belasan tahun, orang selalu tafsirkan sebagai saat yang sangat tidak sesuai dalam mengejar cinta. Cita-cita dan tanggungjawab kepada keluarga itu adalah sesuatu yang harus diutamakan. Dan apabila usia menginjak tua, orang akan bertanya nama-nama yang bakal kau jadikan calon suami atau isteri. Stress bukan? Seperti aku yang masih belum berpasangan, pasti saja orang katakan aku terlalu memilih. Aku terlalu mengejar kesempurnaan. Pada halnya, langsung tidak! Aku hanya menantikan satu perhubungan yang penuh dengan komitmen dan bukan sekadar suka-suka. Putus-rujuk putus-rujuk sampai ke sudah. Dimana pengakhirannya??

Pernah ada orang kata kepadaku. Sampai bila aku harus melarikan diri? Sampai bila aku harus merasai perasaan takut setiap kali ada yang menunjukkan tanda-tanda ingin mengenali diriku dengan lebih lanjut.?? Aku cuma menjungkitkan bahu. Entah, aku cuma takut. Takut menghadapi hakikat! Ramai yang menyuruh aku mencari seseorang untuk ditunjukkan pada mereka. Siapa?? Ha-ha. Aku? Macam mana nak cari sendiri? Aku ini?? Aku yang sebegini?? Ada kah yang suka??? Tiap kali disoal aku hanya mampu mencari jalan singkat. Mudah dan aku serius. Langsung tidak menunjukkan rasa ingin bergurau. Aku hanya mampu tersenyum semanis mungkin dan berkata sebegini setiap kali didesak sebegitu.

"Kalau teringin sangat nak tengok, tolong lah carikan calon." *sambil ketawa*

Angka 2 di depan umur aku cukup untuk membuatkan aku terasa diri ini sudah menginjak ke peringkat usia yang seterusnya. Melihat orang di kiri kanan berkepit dengan bukan mahram. Bersentuhan di sana sini selayaknya dilakukan oleh para suami isteri tanpa ada rasa takut sedikitpun. Ya Allah. Sebenarnya itu yang aku takutkan. Bukan diri ini tidak mahu bercinta. Bukan diri ini menafikan soal yang satu itu, tapi aku takut. Takut andai suatu hari nanti aku terlalu alpa tanpa langsung memikirkan tentang azab nerakamu. Nauzubillah.
Memang sudah lama aku pupukkan rasa jijik dalam diri saat melihat perbuatan itu dilakukan terang terangan dihadapanku. Ya Allah. Teguhkanlah iman di dalam diriku. Memang sudah tertulis selayaknya umat akhir zaman yang terang-terang tidak segan silu melakukan perbuatan "zina" di khalayak ramai.

Sungguhlah aku bukan mencari seorang lelaki. Tetapi aku mencari seorang imam untuk menjadi pelengkap hidupku. Sungguhlah bukan seorang teman lelaki yang aku impikan. Tetapi aku impikan seorang suami yang mampu membimbingku.

Mungkin hanya sampai disini aku membebel. Aku meluah. Mata sudah semakin layu dibuai ngantuk. Selamat malam semua. Selamat bersahur dan Selamat berpuasa sayang =)

Sunday, July 14, 2013

RESAH HATI


Bismillah.. Hijab hati yang selama ini aku tutup rapat kembali aku tenung. Rapat. Langsung tiada ruang untuk dimasuki. Langsung tiada rongga yang mampu ditembusi. Gelap. Senyap. Sepi. Langsung tak berbunyi. Bisu aku rasakan. Lantas dinding hijab yang utuh itu aku tebuk dari dalam. Ya! Berhasil. Lantas aku intai dunia dari sisi lohong yang terbina. Ada suara-suara yang mengasyikkan pada deria pendengaranku. Mata aku pejamkan rapat. Menghayati setiap baris kata yang terluah. Mengamati setiap bait kata yang terlontar. Indah. Aku tersenyum. Aku hanyut seketika.

Masih di dinding hijab yang aku tebuk. Tubuh aku rapatkan serapatnya pada dinding agar aku turut bisa merasai perasaan itu. Bahagia yang bukan mainan mata. Perasaan ingin turut sama keluar ke dunia sana semakin mengasak hati. Lalu aku pecahkan sedikit lagi lohong yang terbina tadi dengan tangan. Aku kembali mengintai. Hati terasa nyaman. Aku tersenyum lagi.

Ada suara yang merantai aku agar kembali berpaut pada dasar hati. Suara yang kembali mengasak diri agar kembali mengingati kepedihan yang dahulunya pernah tercipta. Kaki yang selangkah aku keluarkan tadi kembali aku tarik selangkah demi selangkah. Sungguhlah, perit itu seakan-akan masih terasa-rasa. Menggigit tangkai hati yang rapuh. Aku terduduk lemah. Pandangan kembali aku tekurkan ke lantai. Mungkin belum masanya. Mungkin aku masih tak bersedia.

Bongkah demi bongkah aku susun. Rapat-rapat kelihatannya agar hijab hati yang tadinya aku pecahkan kelihatannya seperti langsung tidak terusik. Aku kembali melihat warna langit. Masih gelap. Jari jemari aku tarikan diatas pasir halus. Seakan melukiskan detik hati yang tidak kesampaian. Mata aku pejamkan. Sebuah keluhan aku hela perlahan. Sabarlah wahai hati. Andai suatu hari nanti akan aku kembali mewarnai langit dukamu. In shaa Allah.

Saturday, July 13, 2013

. .

Hari ini hujan lagi. Titis hujan yang laju menhentam bumi ku tenung kosong. Indah! Alhamdulilah ciptaan Allah memang hebat semuanya. Teringat artikel yang aku baca semalam. Perlahan aku mengeluh. Kenapa harus wujud sikap sarcasm yang terlalu tebal dalam diri manusia sekarang. Kalau impak yang terhasil itu positif, Alhamdullillah aku ucapkan. Tapi sekarang aku semakin takut. Ya aku sedar. Sarcasm bukannya bertujuan suka-suka. Tujuannya untuk menerangkan tentang letak duduk sesuatu pada tempatnya. Dalam nada yang bersahaja. Dalam nada yang bergurau. Tujuannya untuk mengembalikan sesuatu yang menyimpang pada letak asalnya. Aku kecewa. Kini, terlalu  ramai yang makin menjinak-jinakkan diri dengan dunia sarcasm. Kecewa bukan kenapa. Aku kecewa kerana ramai yang tidak memahami erti sarcasm pada erti yang sebenar. Mengutuk, menghentam tanpa mengkaji. Mengutuk, menghentam tanpa mengira sensitiviti kaum. Beza umur? Ahh..kalau aku berteriak hingga hilang suara sekaliipun tiada yang peduli. Yang ada cuma hanya jadi pemerhati. Ahh..inilah masyarakat kita kini. Mungkin nanti kalau keharmonian negara ini tergadai. Mungkin saat itu rasanya perjuangan mereka selesai. Usai membebel. Sudah. Ini isi minda aku. Yang aku tonggangkan. Yang aku sepahkan untuk tatapan umum. Sudah.. Senja kini menghampiri bersama gelap malam yang semakin mendekat.

Saturday, July 6, 2013

MASIH ADA RINDU

Kunyahan yang sedia kala perlahan semakin terhenti. Aku hanya diam mendengar celotehnya. Teliti dalam setiap kata-kata yang dituturkan. Dia tersenyum. Tertawa sangat bahagia. Jauh ku selami. Nyata matanya juga ikut tersenyum setiap kali dia bercerita. Manis wajahnya. Riang tawanya bagaikan bercerita bertapa cerianya hari-hari yang ditempuhinya selama ini. Aku lantas megoyakkan senyuman di bibir. Ikhlas penuh bermakna.
      Air kembali diteguk. Membasahkan tekak yang sudah kontang yang mendesak untuk dititipkan sedikit lembapan. Keringat di dahi diseka perlahan. Ahh.. panas bukan menjadi isu lagi disini. Hanya ini sahaja masanya. Hanya ini peluangnya. Segala yang terbuku dihati diluahkan. Segala yang tersimpan kemas disudut hati dihumban keluar. Dia tersenyum. Turut ketawa bila aku ketawa. Turut senyum pabila aku tersenyum. Saling bertukar cerita. Saling bergelak ketawa.
      Jam ditangan dikerling sepi. Ahh.. Sungguhlah masa sangat mencemburui kita. Dia tersenyum lagi. Patutkah kita pergi? Patutkah kita menamatkan segalanya disini? Ohh..sungguh banyak hikayat yang perlu dikongsi. Masih berkajang menunggu untuk diluahkan. Dia senyum meleret mengharap sebuah pengertian. Aku cuma mengangguk perlahan. Sungguhlah.. Rindu itu tetap ada.. 

Thursday, July 4, 2013

TERIMA KASIH




video

bismillah..
izinkan aku keluarkan suara katak aku yang dah lama aku tak keluarkan ni..
bahahahaha..
tetiba gedik nak nayanyi lagu iamneeta ni..kahkahkah..
ehh..tapikan..kalau-kalau korang takut pekak takyah bukak tau..
hahaha..kbai..
assalamualaikum..

HARGA SEBUAH MEMORI


Sebuah buku usang di sudut bilik menggamitku untuk pandanganku. Lalu aku mendekat dan kubelek halaman depan buku itu. Kosong. Jari jemari pantas membersihkan habuk nipis di atasnya. Helaian demi helaian ku selak. Satu persatu kuulit lama. Secawan kopi dari tadi sudah menjadi peneman setia disisi. Asap nipis yang terhasil ku pandang sepi. Buku usang itu kembali ku baca. Ahh..memori.. Terkadang kerutan di dahi kian menampakkan bayang. Bertapa berharganya nilai sebuah memori. Aku senyum. Buku usang yang damai di atas ribaan ku bawa dalam pelukan. Sungguhlah, andai sebuah perjalanan hidup itu cuma kita saja yang mampu mengerti. Bertapa berharganya sebuah pengalaman, sebuah derita yang mampu mematangkan seorang manusia.
       Kopi yang masih panas kuhirup perlahan dengan mata yang terpejam. Aromanya yang harum kian menggamit memori silam. Ada suka. Ada duka. Terimbau kembali disaat aku masih terkontang kanting sendiri mencari tapak untuk berdiri. Aku yang diusir dari dunia fantasi terkapai-kapai sendirian mencari diri. Gelap. Hitam. Tak ada cahaya. Dalam terkapai-kapai sendirian aku terlihat sepasang tangan. Bingkas menarikku dari terus hanyut dalam duniaku sendiri. Senyap. Bisu. Hanya tersenyum memerhati. Dihembuskan kata-kata semangat dalam diri. Aku terpempan seketika. Terpana melihat dia. Mana dia mampu mempunyai ketabahan sekuat itu. Aku lihat dia. Lama ku tenung dia. Dia juga rapuh sepertiku. Tapi sebuah senyuman itu tidak pernah lekang dari bibir. Kekuatan itu datangnya dari Allah. Bangkitlah, andai reda dari ibu bapa juga guru itu tidak ada maknanya jikalau reda dari Allah itu tiada. Perlahan senyuman kuukirkan untuknya.
      Seorang teman itu tidak pantas digelar sebagai seorang sahabat andai dia tidak bersama-sama kita saat suka dan duka. Buku usang ditangan dibelek sekali lagi. Masih tergiang-ngiang jeritan itu. Masih jelas kuingat wajah masam si gadis yang berlalu setelah puas aku diherdik. Aku diam. Kembali menilik diri. Kembali mencari salah sendiri. Sungguhlah. Aku bukan sesiapa. Cuma manusia biasa yang tidak tahu apa-apa. Tidak secantik dan seindah sahabat yang dikejarnya. Benarlah kata orang. Aku terlampau memanjakannya. Aku senyum dalam sendu. Andai ini satu lagi dugaanNya dalam mematangkan aku, aku reda. Senyap tanpa bicara aku kembali mengorak langkah melalui jalan itu sendiri. Bisu. Aku lihat dia di sisi masih tersenyum. Diam juga tanpa seulas bicara. Sabar. Andai sampai saat yang dijanjikan akan kau lihat kembali bertapa berharganya sebuah memori.